BAITULMUQADDIS: Polis Israel menangkap imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Ekrima Sabri kerana berkabung terhadap kematian Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Teheran pada Rabu lepas.
Pendakwah Palestin itu kemudiannya dibebaskan selepas ditahan selama beberapa jam dan diarahkan untuk diusir dari masjid tersebut, lapor agensi Anadolu.
Peguamnya, Khaled Zabarka berkata, pihak berkuasa Israel membebaskan Sheikh Ekrima dan memerintahkan pengusirannya dari masjid sehingga 8 Ogos, dan kemungkinan ia dilanjutkan selama enam bulan.
Terdahulu, Sheikh Ekrima sempat mengetuai solat jenazah ghaib untuk Haniyeh selepas solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa.
Walaupun Hamas dan Iran menyalahkan Israel terhadap pembunuhan Haniyeh, Tel Aviv tidak mengesahkan atau menafikan bertanggungjawab.
Sheikh Ekrima, 85, pernah ditahan oleh tentera Israel sebelum ini dan dilarang memasuki Masjid Al-Aqsa selama berbulan-bulan.
Beliau adalah seorang pengkritik tegar terhadap pendudukan Israel selama beberapa dekad di wilayah Palestin.
Sebelum ini, Sheikh Ekrima pernah memegang jawatan mufti Baitulmuqaddis dan wilayah Palestin dari 1994 hingga 2006.









