SUNGAI PETANI: Tabiat suka menyimpan barang dan sayang untuk membuang barang lama menyebabkan seorang wanita warga emas hidup seorang diri dalam timbunan pakaian serta longgokan pelbagai barangan di rumahnya di Kampung Sungai Pasir, di sini.
Keadaan rumah yang didiami oleh Jamilah Man, 65, itu tidak terurus bermula dari pintu masuk sehingga ke ruang dapur dan tandas selain hanya terdapat satu ruang kecil untuk dia tidur dan menonton televisyen.
Menurut Jamilah, usaha untuk mengurangkan timbunan pakaian di dalam rumahnya itu pernah dilakukan sebelum ini, namun terhenti kerana tiada kenderaan selepas kereta Perodua Kancil miliknya rosak sejak enam bulan lalu.
“Semua barang di dalam rumah saya adalah barang saya yang disimpan sejak sekian lama, rasa sayang untuk dibuang kerana ada antaranya masih boleh digunakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Ketua Operasi Pasukan Bantuan Madadcare, Murthada Dakwah Center (MADAD) Muhammad Ridzuan Osman, 36, berkata, pihaknya bersama beberapa agensi terpanggil untuk membantu membersihkan rumah warga emas itu.
“Kami ambil masa dua jam untuk buka pintu rumah yang terhalang dengan timbunan pakaian dan perlukan masa selama tiga hari keluarkan semua barang,”ujarnya.










