Harga getah naik tapi hasil torehan kurang

Harga getah naik tapi hasil torehan kurang

LATIFAH Abd. Rahman menoreh getah di kebunnya di Kampung Kuala Menjing, Hulu Terengganu, semalam. – UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Meskipun harga getah naik sehingga mencecah RM4.50 sekilogram ketika ini, namun penoreh di daerah ini sedih berikutan cuaca tidak menentu terutama musim Monsun Timur Laut bakal me­landa.

Penoreh di Kampung Kuala Menjing, Latifah Abd. Rahman, 59, berkata, peningkatan harga itu sememangnya dinantikan para penoreh terutama yang bergantung penuh kepada hasil getah.

“Harga pasaran komo­diti getah pernah berada bawah RM2, tentunya kini kita harapkan harga ini kekal berada di paras tertinggi demi nasib serta kelangsungan hidup para pekebun.

“Bagaimanapun, kita berde­pan dengan hasil susu getah berkurangan berbanding biasa dan mungkin disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu selain penyakit luruhan daun pada pokok getah.

“Sebelum ini, cuaca terlalu panas tetapi kebelakangan ini hujan hampir setiap petang.
“Saya kumpulkan hasil getah dua hingga tiga minggu sekali, baru boleh jual kerana hasil agak berkurangan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Katanya, dia menoreh di kebun seluas kira-kira 1.2 hektar di kawasan rumah bapanya pada sebelah pagi dan tidak dapat lagi berbuat demikian di sebelah petang kerana sering hujan.

Seorang lagi penoreh getah, Yaafar Endut, 71, dari Kampung Payang Kayu di sini memberitahu, harga semasa getah di pasaran diharapkan sedikit sebanyak menstabilkan semula kewangan untuknya sekeluarga.

Katanya, harga komoditi yang ‘turun naik’ beberapa tahun lalu sangat menyedihkan.

“Ada masa langsung tiada pendapatan kerana tidak menoreh disebabkan hujan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×