JERANTUT: Seorang pesara tentera dari Kampung Sungai Putat di sini, mengeluh akibat pendapatan hasil menoreh getah tidak mencukupi untuk belanja keperluan dapur sepanjang Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Mutazar Harun, 67, berkata, seperti tahun sebelum ini, perbelanjaan keperluan dapur cuma ala kadar di samping tidak merasai kemeriahan Aidilfitri akibat hasil torehan yang dijual cuma antara RM3 hingga RM3.10 sekilogram.
“Harga getah di tempat saya masih seperti tahun sebelum ini dan sebagai penoreh tidak selesa untuk berbelanja barang keperluan dapur dan membuat persiapan menyambut Aidilfitri kerana semua keperluan meningkat harga.
“Hasil torehan dalam tempoh 20 hari bekerja tanpa gangguan cuaca dan urusan tertentu cuma RM600. Itupun dibahagi kepada tiga bahagian melibatkan ahli keluarga pemilik kebun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sebagai bekas tentera, dia memperoleh pencen bulanan namun masih tidak mencukupi dan berjimat belanja kerana berdepan dengan harga barang keperluan yang semakin meningkat.
Kebun seluas 0.4 hektar yang ditanam 180 batang pokok getah sejak sembilan tahun lalu cuma memperoleh 200 kilogram dalam anggaran tempoh 20 hari bekerja. Harga rendah menyebabkan dia dan penoreh getah di kampung itu mengeluh tentang pendapatan harian lebih-lebih lagi ketika berdepan Ramadan dan Aidilfitri. – UTUSAN










