Hanya 16,000 pekebun daftar Budi Agri-Komoditi

Hanya 16,000 pekebun daftar Budi Agri-Komoditi

ORANG ramai tidak melepaskan peluang berswafoto dengan Johari Abdul.Ghani (tengah) selepas Program Turun Padang Budi Agro Komoditi di Dewan Serbaguna Agropolitan, Taman Agropolitan Rantau Manis, Gua Musang, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Seramai 16,000 daripada 210,520 pekebun kecil di semenanjung Malaysia yang layak memohon BUDI Agri-Komoditi berbuat demikian setakat 13 Ogos lalu selepas kerajaan melaksanakan penyasaran subdisi diesel.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ketiadaan kemudahan internet, komputer selain tidak mengetahui cara mengemukakan permohonan secara dalam talian menjadi penyumbang kepada berlakunya masalah tersebut.

Menurutnya, mengambil kira situasi itu Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengerahkan seluruh agensi di bawahnya untuk membantu mereka mendaftar.

“Agensi terlibat ialah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Lembaga Lada Malaysia (MPB) serta. Lembaga Koko Malaysia (LKM)

“Siapa daftar, kita akan hantar ke Kementerian Kewangan (MOF). MOF tidak boleh tolak permohonan itu sebab kita sudah semak kelayakan mereka,” katanya kepada pemberita pada Program Turun Padang Budi Agri-Komoditi di Dewan Serbaguna Agropolitan, Taman Agropolitan Rantau Manis di sini hari ini.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu memberitahu, KPK akan terus memperhebatkan lagi hebahan bagi memastikan golongan pekebun menuntut hak mereka yang disediakan oleh kerajaan.

Katanya, pada masa sama agensi dibawah KPK turut menyediakan perkhidmatan pendaftaran Budi Agri-Komuniti di pejabat masing-masing untuk kemudahan pekebun tidak berkesempatan.

“KPK tidak menetapkan sasaran pendaftaran kerana ia tanggungjawab pekebun. Kalau mereka (pekebun) kata tak nak, tak kan kita nak paksa.

“Namun sebagai kerajaan, kita bertanggungjawab memastikan mereka dapat maklumat yang lengkap. Bila dapat maklumat lengkap, jika mereka tak nak bermakna mereka tidak perlu,” ujarnya.

Johari berkata, Budi Madani merupakan wadah kerajaan untuk memastikan peruntukan subsidi
bahan api disasarkan dengan lebih tepat kepada golongan sasar yang berkelayakan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN