Hampir terlepas konvokesyen kerana tiada internet di kampung

Hampir terlepas konvokesyen kerana tiada internet di kampung

WANIKA Itam bersama bapa dan ibunya, Itam Udu, 54, dan Masayu Alang, 50, pada Istiadat Konvokesyen PUO Ke-52 di Ipoh semalam. – UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiada liputan internet di kampungnya bukan penghalang buat seorang pelajar perempuan Orang Asli dari Kampung Sungai Choh, Tanjung Rambutan di sini untuk meraih segulung diploma Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh.

Malah, graduan Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital), Wanika Itam, 25, turut menerima Anugerah Khas Industri pada Istiadat Konvokesyen PUO Ke-52 di sini semalam.

Wanika berkata, walaupun memulakan pengajian peringkat diploma ketika negara dilanda pandemik Covid-19, itu bukan penghalang untuknya menamatkan pengajian.

“Pada awal pengajian, saya terpaksa pergi ke pusat transit ibu mengandung bagi masyarakat Orang Asli untuk mendapatkan liputan internet.

“Saya berada di sana seawal pukul 8 pagi hingga 5 petang dan keadaan itu berterusan sehinggalah pengajian di kelas dapat dijalankan secara bersemuka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, tiada liputan internet di kampungnya juga membuatkan penduduk sukar untuk berkomunikasi dengan dunia luar.

Katanya, jika mahukan liputan internet atau mahu menghubungi dengan orang luar, dia perlu keluar dari kampung dengan jarak kira-kira lapan kilometer.

“Saya hampir sahaja terlepas menghadiri istiadat konvokesyen kerana tidak mendapat maklumat awal mengenai konvokesyen ini.

“Saya hanya mendapat tahu akan menerima Anugerah Khas selepas saya keluar dari kampung mahu ke bandar. Saya dihubungi oleh pensyarah sehari sebelum istiadat konvokesyen ini berlangsung.

“Saya tidak sempat membuat apa-apa persiapan dan hanya sempat membeli sehelai tudung kerana tidak mendapat maklumat awal akan menghadiri konvokesyen dan menerima anugerah tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, dia berharap kampungnya akan mendapat capaian internet untuk kemudahan komunikasi penduduk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN