PONTIAN: Nelayan di Pengkalan Sungai Ayer Baloi, dekat sini diancam rempuhan gumpalan rumput hanyut dari hulu sungai sejak Khamis lalu.
Gumpalan rumput tersebut bukan sahaja boleh merosakkan bot, malah tersangkut di bawah jambatan Sungai Ayer Baloi, sekali gus menghalang aliran sungai dan laluan nelayan.
Pengerusi My Komuniti Perikanan (MyKP) Pangkalan Nelayan Ayer Baloi, Dawik Mohamad Ali berkata, walaupun nelayan membersihkan gumpalan rumput tetapi kumpulan itu masih banyak di bawah jambatan tersebut.
Gumpulan rumput itu turut membawa sampah-sarap termasuk kayu menyebabkan banyak pancang bot patah.
Menurutnya, bagi mengelakkan kejadian lebih buruk, ada nelayan berjaga malam bagi memastikan bot mereka tidak dirempuh gumpalan rumput tersebut.
“Dahulu pernah berlaku 10 bot terbalik, malah ada injin hilang jatuh ke dalam air menyebabkan nelayan mengalami kerugian besar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dawik berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa menangani segera masalah tersebut supaya mata pencarian nelayan tidak terjejas.
“Ancaman gumpulan rumput mengancam periuk nasi mereka yang bergantung dengan hasil tangkapan laut bagi menyara kehidupan keluarga,” katanya. – UTUSAN










