Empangan Nenggiri: Jabatan Warisan Negara, UKM selamatkan lebih 70,000 artifak di Lembah Nenggiri

Empangan Nenggiri: Jabatan Warisan Negara, UKM selamatkan lebih 70,000 artifak di Lembah Nenggiri

ZAHARUDIN Abu (kanan) bersama Felo Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM, Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli (kiri) menunjukkan jumpaan artifak yang ditemui di Lembah Nenggiri pada pameran Jabatan Warisan Negara di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Jabatan Warisan Negara bersama pasukan ekskavasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya mengeluarkan 71, 289 objek termasuklah tulang, rangka dan alat batu dari kawasan Lembah Nenggiri yang menjadi tapak pembinaan Projek Hidroelektrik Nenggiri.

Pengarah Bahagian Arkeologi Jabatan Warisan Negara, Zaharudin Abu berkata, penemuan itu adalah hasil kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi menyelamat terhadap 13 gua batu kapur yang terlibat dengan kerja-kerja pembinaan.

Katanya, kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi itu bermula pada bulan Mac 2022 dan berakhir Oktober 2023.

“Berdasarkan laporan terakhir, setakat ini sebanyak 71, 289 jumpaan yang sudah dibawa keluar termasuk rangka, tulang, alat batu, tembikar dan sebagainya.

“Daripada jumlah tersebut 16 rangka sudah berada di Jabatan Warisan Negara untuk kerja pemuliharaan, konservasi dan penyelidikan lanjutan. Manakala yang selebihnya ada disimpan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya ketika ditemui pada pameran Jabatan Warisan Negara di Pos Tohoi di sini semalam.

Zaharudin memberitahu, pihaknya bersama UKM berusaha membawa keluar sebanyak mungkin artifak atau jumpaan di tapak Lembah Nenggiri.

Katanya, semua satu jumpaan yang mempunyai nilai yang tinggi. 

“Paling berharga ialah satu rangka yang lengkap yang dijumpai di gua Keledung Kecil yang berusia antara 14,000 hingga 16,000 tahun.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak TNB kerana telah menyediakan tempat untuk  menyimpan sementara artifak itu sebelum ditempatkan di galeri mini yang akan dibina TNB,” katanya.

Zaharudin berkata, penemuan terbabit secara tidak langsung membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

“Kami juga akan minta kepada pihak UKM untuk mencalonkan objek rangka manusia Gua  Keledung Kecil tu yang berusia antara 14,000 hingga 16,000 tahun untuk kita wartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

“Ini salah satu cara untuk kita memelihara objek itu, jadi bila kita wartakan, objek tu akan dipelihara dengan baik. Saya menyeru kepada semua sekiranya ada jumpaan yang mempunyai signifikan warisan terus melaporkan kepada pejabat daerah, pegawai daerah atau pun pesuruhjaya secara langsung,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×