Dunia perlu kutuk perbuatan Israel bakar al-Quran - Hamas

Dunia perlu kutuk perbuatan Israel bakar al-Quran

RAKYAT Mesir melaungkan slogan anti-Israel dan mengangkat al-Quran di Masjid Al-Azhar di Kaherah, semasa demonstrasi mengutuk serangan Israel terhadap kapal bantuan ke Gaza, pada 4 Jun 2010.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Kumpulan pejuang Hamas menggesa negara dan organisasi Arab-Islam untuk mengutuk serta menyatakan kemarahan terhadap tindakan tentera Israel membakar naskhah al-Quran di sebuah masjid di Gaza.

Menerusi satu kenyataan kelmarin, kumpulan itu menegaskan perbuatan membakar al-Quran dan memusnahkan masjid membuktikan sifat ekstremis Israel serta tenteranya.

Terdahulu, Al Jazeera menyiarkan rakaman, diperoleh daripada kamera tentera Israel, menunjukkan mereka mengoyakkan dan membakar naskhah al-Quran di Masjid Bani Saleh, utara Gaza.

Saluran itu juga menyiarkan video daripada dron Israel yang menunjukkan pengeboman Masjid Besar bersejarah di Khan Younis.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, Israel memusnahkan sepenuhnya 610 masjid dan tiga gereja sejak 10 bulan perang di Gaza.

Susulan itu, Hamas menggesa masyarakat dunia untuk bertindak mempertahankan tempat suci umat Islam dan premis ibadat Kristian di Palestin, termasuk menghentikan perang terhadap Gaza.

Pertubuhan hak sivil dan advokasi sivil Islam terbesar di Amerika Syarikat (AS), Council on American-Islamic Relations (CAIR) menegaskan penghinaan al-Quran dan serangan masjid di Gaza membuktikan Israel memerangi agama Islam.

Pengarah Eksekutif CAIR, Nihad Awad dalam kenyataan mendesak Presiden AS, Joe Biden untuk mengutuk keganasan Israel di wilayah tersebut.

“Pentadbiran Biden mesti mengecam penodaan agama ini dan menggantung pemindahan senjata kepada Israel untuk memaksa kempen pembunuhan di Gaza ditamatkan,” katanya.

Walaupun kebanyakan masjid di Gaza musnah akibat serangan, rakyat Palestin masih mengadakan solat berjemaah di sebelah struktur runtuhan.

Bulan lalu, serangan Israel terhadap jemaah yang bersolat berhampiran sebuah masjid musnah di kem pelarian Shati di utara Gaza, membunuh sekurang-kurangnya 20 orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×