KUALA LUMPUR: Kira-kira 12 penunggang motosikal maut setiap hari sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada angka kematian nahas jalan raya iaitu 75 peratus sepanjang tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, angka itu dari dahulu hingga sekarang membimbangkan dan pihaknya percaya peningkatan tersebut mungkin disebabkan penambahan jumlah penunggang dan pembonceng motosikal.
“Statistik pada 2023 menyaksikan, hampir 600,000 kes kemalangan dicatatkan dan secara purata sebanyak 1,644 kes sehari melibatkan 17 kemalangan maut dan 18 kematian dengan 12 orang adalah penunggang motosikal.
“Banyak faktor kemalangan jalan raya melibatkan motosikal berlaku. Antaranya menunggang secara berbahaya, melulu dan terbabas, keadaan jalan dan kemalangan dengan kenderaan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia kelmarin.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap kadar kemalangan tinggi dalam kalangan penunggang motosikal yang berkait rapat dengan kelemahan penguatkuasaan undang-undang selain isu penyelenggaraan jalan raya.
Sehubungan itu, Mohd. Yusri berkata, pihaknya mengambil maklum kebimbangan Perdana Menteri dan akan melakukan tindakan segera dengan meningkatkan operasi dan penguatkuasaan secara lebih tegas.
Menurut beliau, JSPT juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk kepada ibu bapa sekiranya pesalah itu berusia 16 tahun ke bawah mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Selain itu, setiap minggu kita adakan Op Samseng Jalanan yang menekankan kepada membanteras kegiatan lumba haram.
“Jadi, ini dibuat secara berkala, kita turun ke lapangan, buat intipan dan ambil maklumat berkenaan kawasan yang sering berlaku atau diadakan perlumbaan haram. Kita kumpul maklumat dan ambil tindakan.
“Kami dari semasa ke semasa buat operasi ini untuk membanteras atau mengurangkan aktiviti lumba haram bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin,” katanya.
Pada masa sama, Mohd. Yusri berkata, pihaknya juga melaksanakan kempen keselamatan jalan raya di pelbagai peringkat termasuk di sekolah menerusi Op Didik.
Katanya, ia bagi mendedahkan golongan muda khususnya pelajar supaya menunggang motosikal secara lebih berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya. – UTUSAN










