KOTA BHARU: Dua lelaki lari lintang-pukang selepas lori dipandu mereka yang membawa 9,450 karton rokok seludup bernilai RM243,400 dengan cukai RM1.3 juta ditahan dalam dua serbuan berasingan Tumpat dan Bachok pada minggu lalu.
Kedua-dua serbuan itu dijalankan kira-kira pukul 5.45 petang hingga 9.30 malam pada 31 Julai lalu oleh anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, dalam serbuan pertama di Kampung Chat, Palekbang dekat Tumpat, anggota kastam menahan sebuah lori jenis Daihatsu dipandu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an.
Menurutnya, pemandu kenderaan itu kemudian melarikan diri meninggalkan lori tersebut yang membawa sebanyak 99 kotak berisi lebih 1 juta batang rokok seludup.
“Jumlah keseluruhan rampasan rokok itu bernilai RM114,000 dengan cukai RM697,840.
“Serbuan kedua pula dijalankan kira-kira empat jam kemudian di Kampung Badak, Bachok dan berjaya menahan sebuah lagi lori jenis Daihatsu dipandu lelaki berusia dalam lingkungan 40-an yang turut sempat melarikan diri,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Penguatkuasaan JKDM Kelantan, di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, pemeriksaan di dalam kenderaan itu membawa kepada penemuan sebanyak 90,000 batang rokok seludup bernilai RM99,000 dengan jumlah cukai RM603,900.
Katanya, siasatan lanjut mendapati, kedua-dua buah lori itu dimiliki oleh sebuah syarikat yang sama.
“Rokok-rokok tersebut dipercayai dipunggah melalui Pekan Tak Bai, Thailand melalui Sungai Golok dan pesisir kawasan pantai di Bachok.
“Barangan seludup itu dibawa dengan sebuah bot sebelum ia dipunggah ke dalam lori-lori milik syarikat tersebut,” ujarnya.
Wan Jamal Abdul Salam berkata, rokok diseludup itu dipercayai akan disimpan terlebih dahulu sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Ujarnya, kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.-UTUSAN











