BEIRUT: Kumpulan Hezbollah berjaya melancarkan satu serangan dron terhadap belon udara Israel pada Mei lalu, satu perkembangan baharu yang memperlihatkan kecanggihan senjatanya tanpa dikesan radar Tel Aviv.
Penyelidik di Institut Kajian Strategik Antarabangsa, Fabian Hinz dalam satu laporannya berkata, kemunculan dron baharu digelar Ababil itu membolehkan Hezbollah yang disokong Iran, melancarkan serangan balas terhadap Israel susulan pembunuhan komandernya, Fuad Shukr di Beirut bulan lalu.
“Ini adalah ancaman yang perlu diambil serius oleh Israel.
“Tel Aviv boleh memintas serangan roket menggunakan sistem pertahanan udara Iron Dome dan David’s Sling, namun masih belum ada keupayaan memintas dron dengan pantas,” kata Hinz seperti dipetik Arab News.
Pada Mei lalu, Hezbollah mengumumkan kejayaan menyerang sebuah belon udara Israel yang berfungsi memberi amaran tentang kemaraan dron dan misil ke wilayahnya, dalam satu kejadian di sebuah pangkalan tentera Israel, kira-kira 35 kilometer dari sempadan Lebanon.
Pergerakan itu turut mendedahkan rakaman dron Ababil terbang menuju belon Sky Dew dan tentera Israel mengesahkan serangan tersebut.
Sejak berbalas serangan roket hampir setiap hari di sepanjang sempadan Lebanon-Israel bermula Oktober tahun lalu, Hezbollah menggunakan lebih banyak dron untuk mengelak sistem pertahanan udara Israel.
Dron yang bersaiz lebih kecil dan perlahan berbanding peluru berpandu, sukar dikesan sistem pertahanan udara Israel lebih-lebih lagi jika ia dilancarkan dekat dengan sempadan.- AGENSI











