DPR akur keputusan Mahkamah Perlembagaan

DPR akur keputusan Mahkamah Perlembagaan

PENUNJUK perasaan memanjat pagar di Parlimen di Jakarta, Indonesia semalam.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) menangguhkan rancangan untuk mengubah satu peruntukan undang-undang Pilihan Raya Daerah (Pilkada) susulan tunjuk perasaan oleh beribu-ribu penduduk di negara ini, semalam.

Timbalan Speaker DPR, Sufmi Dasco Ahmad berkata, pindaan terhadap peraturan Pilkada itu tidak akan dibuat sewaktu penggal kerajaan semasa berjalan.

Katanya, perbincangan sebaliknya akan diteruskan dalam tempoh persidangan DPR akan datang, bermakna ia tidak akan terpakai pada pilihan raya tahun ini atau di bawah pentadbiran Presiden Joko Widodo (Jokowi), yang akan meninggalkan jawatan pada Oktober ini.

Sekiranya dilaksanakan, pindaan itu akan membolehkan anak bongsu, Joko Widodo atau Jokowi, Kaesang Pangarep, 29, bertanding pada Pilkada bagi jawatan Gabenor untuk kerusi Jawa Tengah.

Terdahulu, DPR mengadakan satu sidang luar biasa bagi membantah keputusan Mahkamah Perlembagaan yang tidak membenarkan pindaan satu peruntukan berhubung kelayakan had umur dalam Pilkada.

Bagaimanapun, atas desakan penunjuk perasaan yang bertindak ganas, DPR membatalkan hasrat mencabar keputusan Mahkamah Perlembagaan itu.

Polis Indonesia semalam terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air terhadap penunjuk perasaan yang cuba memecah masuk DPR selepas merosakkan struktur penghadang ke bangunan berkenaan.

Sebahagian daripada mereka turut melontar batu ke arah polis, sementara ada yang membakar tayar di jalan-jalan sebagai membantah tindakan ahli politik yang mahu memberi kelebihan kepada anak Jokowi.

Protes yang sama turut diadakan di Bandung, Yogyakarta, Surabaya dan Makassar.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×