‘Bungo lado’ angkat identiti adat pepatih

‘Bungo lado’ angkat identiti adat pepatih

NORAINI Baba menunjukkan sebahagian hasil rekaan produk krafnya yang bermotifkan bunga lado ketika ditemui di Nilai, semalam. – UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bunga lada ataupun ‘bungo lado’ mengikut loghat masyarakat Negeri Sembilan menjadi satu daripada sembilan keunikan yang diangkat sebagai identiti negeri adat perpatih.

Sehubungan itu, usaha kini giat dilaksanakan menerusi Kraftangan Malaysia Cawa­ngan Negeri Sembilan supaya bunga lada berciri warna putih, berkelopak daun dan mempu­nyai kelopak bunga itu dipromosi menerusi penghasilan pelbagai produk kraf bermotifkan bunga.

Tidak terkecuali menyahut saranan itu, seorang pengusaha kraf, Noraini Baba, 47, yang mengakui begitu bersemangat untuk menghasilkan produk kraf bermotifkan bunga lada.

“Pada peringkat awalnya saya menghasilkan produk batik dari Terengganu dan Kedah secara kecil-kecilan, namun apabila Kraftangan Malaysia Negeri Sembilan mahu mempromosikan identiti Negeri Sembilan menerusi Bunga Lado ini, saya terfikir untuk mengambil peluang demi mengangkat identiti negeri sendiri.

“Bermula situ, saya menghasilkan corak bermotifkan bunga lado pada setiap produk kraf yang dihasilkan. Corak ini saya hasilkan menerusi idea sendiri dan menghiasi fabrik yang dijadikan beg tangan, kain pasang, kebaya dan batik “ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Noraini yang sebelum ini seorang tukang jahit berkata, meskipun proses pembuatannya memakan masa kira-kira tujuh hari, pembikinan corak bunga lado ini sangat istimewa dan memberi nilai estetik.

“Apabila melihat hasilnya begitu eksklusif dan dapat menghiasi fabrik yang dijadikan beg tangan, kain pasang dan baju kebaya, rasa penat saya berbaloi,” katanya yang membawa label Noraini Baba.
Ujarnya, dia amat memen­tingkan kualiti pembikinan setiap produk yang dihasilkan berbanding kuantiti.

“Saya juga mendapat bimbi­ngan daripada pihak krafta­ngan dan setiap penghasilan dan penggunaan blok dibuat di bengkel kraftangan,” katanya lagi.

Ibu kepada empat anak itu berkata, dia bercadang mempunyai blok sendiri (motif dalam membuat corak, rekaan) terdiri daripada blok bunga lado, kera­wang serta seni kreatif yang bermotifkan Malaysia seperti bunga Raya.

“Ilmu saya pelajari di krafta­ngan, saya yakin boleh mempelbagaikan produk saya ketengahkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN