SEMPORNA: Dua mangsa hilang dalam kes pelanggaran bot di Pulau Sebangkat pada selasa ditemukan lemas di perairan Bohey Dulang semalam.
Kedua-dua mayat lelaki berusia 20-an itu ditemukan terapung di perairan tersebut kira-kira pukul 1.15 petang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superitendan Fauzi Abd kadir berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan dua mayat yang dilaporkan hilang semasa insiden pelanggaran bot di Pulau Sebangkat pada Selasa.
“Mayat ditemukan terapung di perairan Bohey Dulang, semporna oleh sepasukan Komando VAT 69 yang sedang menjalankan rondaan di kawasan perairan tersebut. Kedua-dua mayat tersebut telah dihantar ke Hospital Semporna untuk proses bedah siasat.
“Siasatan awal pihak polis mendapati kedua-dua mayat yang ditemukan adalah mayat mangsa yang hilang akibat pelanggaran dua buah bot yang berlaku pada Selasa di perairan Pulau Sebangkat,” katanya.
Beliau berkata, siasatan diteruskan di bawah Seksyen 280/304A Kanun Keseksaan.
Pihak polis menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak menularkan isu-isu yang belum disemak kesahihan dalam media sosial kerana ia boleh menimbulkan kerisauan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.










