KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) berharap kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri akan berpihak kepada parti itu agar UMNO tidak menjadi ‘batu nisan’ di negeri yang ditadbir pembangkang.
Menjelaskan keadaan tersebut, Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan tersebut akan menambahkan dua jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimilikinya iaitu DUN Galas dan DUN Kota Lama.
“Untuk keputusan parlimen Kemaman, kalau itu mahu dijadikan ukuran, ia tidak begitu adi..namun dalam Pilihan Raya Negeri yang akan dihadapi ,tidak dapat membuat satu telaan terhadap prestasi di mana untuk Terengganu, Kedah dan Perlis kita tidak ada wakil.
“Tetapi untuk Kelantan, sekuat mana pun kerajaan negeri itu, kita masih mempunyai wakil dan di Nenggiri ini..insya Allah satu lagi kerusi, supaya UMNO ini tidak menjadi batu nisan di Kelantan.
“Satu kerusi yang kita akan sumbangkan ini akan menjadi tunggak penting untuk kita meraih semula sokongan,” katanya dalam wawancara khas sempena Perhimpunan Agung UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini, hari ini.
Seramai 20,259 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat baharu pada PRK DUN Nenggiri pada hari ini dengan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon dari Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail.
Ia berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker Dun Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lalu, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Sebanyak 20 pusat mengundi membabitkan 46 saluran dibuka serentak mulai 8 pagi hingga 6 petang, dengan enam daripadanya akan ditutup lebih awal.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid optimis dengan keyakinan berpihak kepada BN namun dengan majoriti yang tipis.
“Buat lah macam mana pun asalkan menang walaupun satu undi, saya rasa BN menang tetapi majoriti tipis,” ujarnya.
Untuk rekod, Pada PRK Kelantan Ogos tahun lalu, calon BN Ab Aziz Yusoff tewas kepada Mohd Azizi yang bertanding di bawah tiket PAS mewakili PN dengan majoriti 810 undi.











