JELI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jeli kekal kukuh apabila tiada satu pun cawangan ditutup selepas 1,000 ahlinya bertindak keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta merta Rabu.
Ketuanya, Jummaalin Zaiton berkata, tindakan itu dilakukan oleh individu yang bercita-cita besar tetapi kecewa dalam parti sekali gus mengkhianati sokongan rakyat dan perjuangan parti.
“Bersatu Bahagian Jeli masih utuh dan masih berfungsi seperti biasa. Pada masa sama, seramai 7,238 ahli di 57 cawangan masih aktif.
“Kami memahami suasana politik dengan adanya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri ketika ini ada pihak telah mengambil kesempatan bagi meraih sokongan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jummaalin memberitahu, pihaknya melihat tindakan itu bertujuan menggambarkan kelemahan Bersatu ketika ini.
Katanya, pengisytiharan keluar daripada parti merupakan strategi lapuk kerana ia sering kali diulang tayang setiap kali musim pilihan raya.
“Ahli Bersatu sudah lali dengan taktik yang digunakan oleh pihak musuh begini dan tidak akan sama sekali terpengaruh dengan dakyah-
dakyah ini.
“Cukup-cukuplah dengan strategi jahat ini dan lebih baik memberi tumpuan kepada masalah rakyat yang kini sedang menderita dengan kenaikan kos sara hidup yang sangat melampau,” ujarnya.
Utusan Online sebelum ini melaporkan, kira-kira 1,000 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jeli mengisytiharkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta merta selepas hilang kepercayaan.
Wakilnya Rodzi Muhammad berkata, tindakan itu menyebabkan lapan daripada 18 cawangan Bersatu di Bahagian Jeli dibubarkan.
Menurutnya, keputusan itu dibuat secara sukarela dan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.-UTUSAN









