Bekas Mufti Negeri Sembilan meninggal dunia - Utusan Malaysia

Bekas Mufti Negeri Sembilan meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bekas Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad, 79, meninggal dunia di kediamannya di Taman Marida, Senawang di sini kira-kira pukul 7.43 malam tadi.

Menantu kepada Allahyarham, Danial Farhan Dolmat memberitahu, bapa mentuanya itu meninggal dunia dalam keadaan koma selepas dibawa dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM, Cheras, Kuala Lumpur, petang tadi.

“Allahyarham disahkan menghidap kanser hati sejak lebih sebulan lalu. Sebelum arwah meninggal dunia, dia dalam keadaan koma sejak pukul 3.30 pagi tadi.

“Petang tadi kami bawa balik ke rumah masih lagi dalam keadaan koma sehingga pukul 7.43 malam tadi arwah disahkan meninggal dunia. Arwah pergi dengan tenang, itu sahaja yang boleh saya katakan,” katanya ketika ditemui di sini.

Danial Farhan yang juga merupakan Imam Masjid Negeri, Seremban memberitahu, jenazah Allahyarham akan dimandikan di Masjid Kariah Taman Marida di sini malam ini manakala solat jenazah akan dijalankan selepas solat subuh di masjid yang sama.

Katanya, jenazah kemudian akan dibawa ke Masjid Negeri  untuk solat jenazah kali kedua dan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Makam Haji Mohd. Said, Sikamat.

Allahyarham yang dilahirkan pada 7 Februari 1945 di Air Mawang Johol, Kuala Pilah meninggalkan seorang balu, Datin Pahariah Jamaludin, 69,  dan enam cahaya mata yang terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan bersama 20 orang cucu.

Arwah yang juga bekas guru merupakan Mufti Negeri Sembilan keempat yang dilantik pada tahun 2009 dan bersara pada 2023.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN