Bekalan insulin bagi pesakit diabetis terjejas

Bekalan insulin bagi pesakit diabetis terjejas

insulin
MMA bimbang dengan isu bekalan insulin manusia terjejas kerana ia memberi berpotensi memberi kesan ke atas pesakit terutama mereka yang bergantung kepada ubat tersebut untuk pengurusan diabetes.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) disaran mempercepat proses pembelian insulin pesakit diabetes daripada sumber alternatif susulan bekalan hormon itu ketika ini terjejas akibat isu pengeluaran.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, beliau maklum KKM sedang giat mempelbagai sumber bekalan insulin manusia, namun langkah segera akan dapat membantu ketersediaan bekalan insulin itu termasuk pada masa akan datang.

“Saranan saya kerajaan cu­ma percepatkan prosesnya, mak­nanya untuk mendapatkan sumber alternatif dari segi pembe­lian kecemasan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurut beliau, pihak tertentu pula diminta tidak mengeruhkan keadaan sehingga mencetus panik dengan menyatakan pesakit diabetes terjejas disebabkan isu pengeluaran tersebut.
Beliau percaya, langkah dila­kukan KKM dengan mempelbagai sumber alternatif bekalan insulin manusia adalah tepat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan klinikal ditetapkan.

“Dalam keadaan sekarang, jangan sesekali beri maklumat tidak tepat sebab kerajaan memang akan ada sumber alternatif lain. Jadi, biarlah pihak bertanggungjawab yang menguruskannya,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Peruba­tan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan mewujudkan jawatan­kuasa di seluruh negara bagi menyelia pengurusan stok dan bekalan ubat penting susulan laporan bekalan insulin manusia yang terjejas.

MMA bimbang dengan isu tersebut kerana berpotensi memberi kesan ke atas pesakit terutama mereka yang bergantung kepada ubat tersebut untuk pengurusan diabetes.

KKM dalam kenyataan kelmarin memaklumkan, bekalan insulin manusia yang dilaporkan terjejas sebelum ini disebabkan isu pengeluaran di fasiliti tempatan.

Bagi mengatasi isu itu, KKM mengambil beberapa pendekatan termasuk meningkatkan penggunaan insulin jenis analog dan terapi oral berdasarkan penilaian klinikal oleh doktor yang merawat pesakit bagi memastikan rawatan diteruskan.

Daripada 41 ubat-ubatan yang diguna dalam formulari bagi merawat diabetes, kata KKM, hanya insulin manusia yang mengalami isu bekalan namun menegaskan pengurusan diabetes untuk seluruh pesakit kementerian tidak terjejas.

Untuk rekod, rawatan perubatan di Malaysia yang ditawarkan kepada penghidap diabetes adalah dalam bentuk insulin manusia, insulin jenis analog dan terapi oral iaitu bergantung kepada keperluan rawatan individu.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati satu daripada enam (15.6 peratus) dewasa di Malaysia menghidap diabetes, manakala 84 peratus daripada orang berumur 18 hingga 29 tahun tidak tahu mereka menghidap diabetes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN