KARACHI: Banjir kilat yang dicetuskan oleh hujan berterusan melanda utara Pakistan semalam, menghanyutkan kawasan kejiranan, tanah runtuh dan meragut sekurang-kurangnya 35 nyawa dalam tempoh 48 jam.
Hujan berterusan menyebabkan bencana di kawasan Chitral di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa, yang menghanyutkan rumah, jambatan dan ternakan serta memutuskan laluan puluhan kampung di pinggir bandar.
Cuaca buruk itu juga mencetuskan tanah runtuh dan aliran arus lumpur yang menyekat jalan di beberapa tempat berbeza.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah, 19 orang maut dan 15 yang lain cedera di bahagian berlainan wilayah dalam kemalangan berkaitan hujan sejak 48 jam lalu.
Kira-kira 11 sekeluarga dilaporkan lemas apabila banjir kilat menenggelamkan ruang bawah tanah sebuah rumah di daerah Kohat, kelmarin.
Sementara itu, lapan lagi kehilangan nyawa selepas disambar petir di selatan gurun Thar.
Ratusan pelancong terperangkap selama dua hari akibat jambatan utama yang menghubungkan destinasi pelancongan terkenal Kaghan dan Naran dihanyutkan oleh banjir kilat.
Jabatan Meteorologi Pakistan meramalkan hujan lebat dan banjir di seluruh negara, termasuk bandar utama Karachi, Lahore dan Islamabad bermula esok hingga Selasa depan.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara meminta pihak berkuasa untuk terus berjaga-jaga dan mengambil langkah perlu untuk mengelakkan kerugian manusia serta infrastruktur akibat bencana itu.
Musim tengkujuh bermula Julai hingga Ogos menyebabkan kemusnahan di seluruh negara Asia Selatan itu.- ANADOLU










