SYDNEY: Australia mendesak China agar lebih telus dalam bantuan yang diberikannya ke Pasifik, bagi mengelakkan persaingan berterusan antara Beijing dan Barat.
Menteri Pembangunan Antarbangsa dan Pasifik Australia, Pat Conroy berkata, peluang ekonomi baharu bagi negara-negara Kepulauan Pasifik tidak seharusnya disertai dengan paksaan dan campur tangan, merujuk kepada tindakan Beijing.
“Kami mahu melihat negara-negara mempertahankan kedaulatan, bebas dari paksaan dan melaksanakan polisi selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam ucapan kepada sebuah badan pemikir dasar awam di sini, hari ini.
Tambah beliau, China perlu lebih telus dalam bantuan yang diberikan, selain melihat projek infrastruktur di Pasifik sebagai batu loncatan memajukan industri pekerjaan kemahiran dan perolehan tempatan.
Di Pasifik Selatan, Canberra dan Washington ‘terpaksa’ menjalin kerjasama dengan Beijing selepas China menandatangani perjanjian keselamatan rahsia dengan Kepulauan Solomon pada tahun 2022.
Beijing beberapa bulan kebelakangan ini berusaha memperkukuhkan pengaruhnya termasuk menyuntik AS$20 juta (RM89.9 juta) ke dalam bajet Kepulauan Solomon.
Pemimpin Kepulauan Solomon dan Vanuatu turut menerima jemputan ke Beijing awal bulan ini untuk bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping.
Amerika Syarikat pada tahun lalu telah membuka semula kedutaannya yang lama tidak berfungsi di Kepulauan Solomon, diikuti dengan penubuhan kedutaan di Tonga.- AGENSI










