WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan menghantar kapal perang dan jet pejuang tambahan ke Asia Barat untuk membantu melindungi Israel daripada kemungkinan serangan oleh Iran dan proksinya.
Ketegangan di rantau ini masih tinggi berikutan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Iran dan seorang kamander utama Hezbollah, Fuad Shukr di Lubnan.
AS bersiap sedia untuk menghadapi ancaman Iran yang mahu bertindak balas terhadap kematian Haniyeh, dalam satu siri pembunuhan tokoh kanan dalam kumpulan pejuang Palestin.
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei bersumpah untuk memberikan ‘hukuman keras’ terhadap Israel.
Haniyeh dibunuh di Teheran pada Rabu lepas, dengan Iran dan proksinya di Gaza menyalahkan Israel terhadap serangan itu.
Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin meluluskan penghantaran tambahan kapal penjelajah dan kapal pemusnah Tentera Laut, yang boleh menembak jatuh peluru berpandu balistik, ke Asia Barat serta Eropah.
Selain itu, satu skuadron tambahan jet pejuang juga akan dihantar ke Asia Barat.
Pentagon dalam kenyataan berkata, pasukan pertahanan peluru berpandu diletak dalam keadaan lebih bersedia untuk dikerahkan, selain menegaskan komitmen mempertahankan Israel adalah kukuh.
Katanya, penempatan baharu itu akan meningkatkan perlindungan pasukan AS dan sokongan pertahanan Israel, termasuk memastikan pihaknya bersedia untuk bertindak balas terhadap pelbagai kemungkinan.
Terdapat spekulasi bahawa Pentagon mungkin tidak akan menggantikan kumpulan serangan kapal pengangkut USS Theodore Roosevelt di Asia Barat apabila ia selesai pengambilan semasa.
Namun, Austin memutuskan untuk bergilir dengan kumpulan serangan kapal pengangkut USS Abraham Lincoln sebagai pengganti.
Menurut Pentagon, ia akan meningkatkan kesediaan untuk menggunakan lebih banyak pertahanan peluru berpandu balistik berasaskan darat.- REUTERS










