PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi selamat tiba di New Delhi, India bagi memulakan lawatan rasmi seterusnya mempergiat usaha menarik pelabur berpotensi.
Anwar berkata, kunjungan selama dua hari itu akan membuka peluang kepada beliau dan rakan sejawat membincangkan kemajuan hubungan kedua-dua negara selain menerokai bentuk kerjasama baharu.
“Usaha berterusan juga akan terus dipergiat di India bagi menarik para pelabur berpotensi untuk melabur di Malaysia.
“Doakan agar urusan kami dipermudahkan, insya-Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu, media melaporkan, acara sambutan rasmi Perdana Menteri akan berlangsung di pekarangan kediaman rasmi Presiden India, Rashtrapati Bhavan diikuti mesyuarat bilateral bersama rakan sejawatnya, Narendra Modi pada Selasa.
Mesyuarat itu akan membolehkan kedua-dua pemimpin mengkaji semula kerjasama semasa dan meneroka inisiatif bagi mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-India yang telah dinaikkan kepada Perkongsian Strategik Dipertingkatkan pada 2015.
Kedua-dua pemimpin itu juga akan membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama.
Perdana Menteri akan turut menyertai mesyuarat meja bulat dengan beberapa pemimpin industri India. – UTUSAN











