KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) seperti terbina dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan PH dan BN terutama UMNO ketika ini berada di tahap yang sangat baik.
“Di peringkat ini, kerjasama kita memang sangat memuaskan. Jadi, untuk masa depan itu, kita masih buka ruang untuk berbincang secara baik,” kata beliau selepas merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin (MM4AP) di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini semalam.
Terdahulu, semasa Perhimpunan Agung UMNO 2024, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN tidak akan bergerak solo dalam PRU16 bagi mengelak pertembungan antara parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan. Bagaimanapun, BN akan menggunakan lambang sendiri.
“Ini juga terlihat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota mengenai persetujuan kedua-dua belah pihak, iaitu menghormati di mana kerusi dipegang oleh sesebuah parti hendaklah diserahkan kepada parti berkenaan walaupun ada suara yang menuntut.
“Kita tidak bergerak solo, ertinya kita mesti bekerjasama tetapi menggunakan lambang sendiri,” kata Ahmad Zahid.
Selain Ahmad Zahid, beberapa pemimpin UMNO lain turut mengakui parti itu masih perlu menjalin kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Sementara itu, Anwar yang juga Perdana Menteri enggan mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan Kerajaan Perpaduan ketika ini lebih teruk berbanding dajjal.
“Ustaz Hadi pada tahap sekarang kadang-kadang lebih banyak terlanjur (membuat kenyataan), jadi saya tidak berhasrat untuk ulas perkara berkenaan,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain, Anwar mahu kerajaan terdahulu memberi penjelasan mengapa pentadbiran mereka membiarkan perdagangan secara langsung terus dilakukan dengan syarikat milik Israel.
Bagaimanapun, menurut beliau, di bawah pentadbirannya, Jemaah Menteri sebulat suara bersetuju menghentikan segala bentuk perdagangan langsung dengan syarikat milik rejim Zionis.
“Orang-orang yang menegur kita dalam soal perdagangan dengan mana-mana syarikat, harus menjawab mengapa pada ketika mereka terlibat dalam kekuasaan, mereka mengizinkan perdagangan terus dengan ZIM (syarikat perkapalan berpangkalan di Israel) dan syarikat-syarikat lain. Ini merupakan isu pokok yang harus dijawab.
“Saya sedia maklum mengenai risiko bakal dihadapi, bagaimanapun tidak akan sesekali mengorbankan kepentingan negara,” kata beliau.
Mengenai Palestin, Anwar berkata, isu kesengsaraan penduduk Islam di Semenanjung Gaza yang diperlakukan secara kejam oleh Israel tidak seharusnya dijadikan ‘sepak terajang’ dalam politik oleh mana-mana pihak semata-mata mahu meraih kepentingan peribadi.
Menurutnya, rakyat tidak sepatutnya dibuai dengan slogan-slogan yang ‘lunak’ didengar apabila menggunakan isu Palestin demi kepentingaan politik pihak-pihak tertentu.
Beliau berkata, isu di Palestin melibatkan banyak nyawa terkoban dan pelbagai kemusnahan berlaku oleh kerana kekejaman tentera Israel.
“Tidak mungkin untuk kita izinkan. Orang yang ada hati nurani menjadikan isu ini sebagai mainan sepak terajang politik, ia harus tuntas melakukan sedaya upaya menyelamatkan negara itu,” katanya. – UTUSAN








