Kerja berpasukan jika mahu tawan Kedah - DAP - Utusan Malaysia

Kerja berpasukan jika mahu tawan Kedah – DAP

TEH SWEE LEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: DAP percaya semangat kerjasama secara berpasukan adalah kunci utama untuk menawan kembali Kedah berbanding menghadkan penglibatan mana-mana pihak dalam pilihan raya akan datang.

Setiausaha DAP Kedah, Teh Swee Leong berkata, kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah langkah yang paling strategik untuk memenangi semula kepercayaan rakyat Kedah.

Menurutnya, gabungan itu mencerminkan semangat perpaduan yang kukuh dan menjadi asas penting dalam membawa perubahan politik yang bermanfaat kepada rakyat.

“Kerjasama berpasukan adalah kunci utama untuk menawan kembali Kedah. Segala usaha harus berpusat kepada kebersamaan, tanpa menghadkan penglibatan mana-mana pihak.

“Setiap parti dalam kerajaan Perpaduan membawa kekuatan tersendiri dan semua pihak perlu diberi peluang untuk menyumbang demi kejayaan bersama,” katanya di sini, hari ini.

Swee Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman berkata demikian sebagai respon terhadap cadangan Pemuda UMNO Kedah yang berpandangan DAP harus memberi laluan kepada parti-parti lain dalam kerajaan Perpaduan sekiranya berhasrat merampas negeri itu daripada Perikatan Nasional (PN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia semalam, Ketua Pemuda UMNO Pokok Sena, Mohd. Farhan Ahmad berkata, senario politik di Kedah memerlukan pendekatan yang sedikit berbeza antara BN dan PH.

Sementara itu, ujar Swee Leong lagi, tempoh yang berbaki sebelum pilihan raya seterusnya kini harus dimanfaatkan untuk membaiki kelemahan yang ada, mengukuhkan semangat akar umbi dan meningkatkan penerimaan rakyat terhadap kerajaan Perpaduan.

Katanya, fokus utama mestilah kepada pelaksanaan dasar-dasar yang memenuhi keperluan rakyat dan membawa pembangunan yang mampan di Kedah.

“Setiap parti dalam gabungan ini perlu memberikan perhatian sepenuhnya kepada agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat di bawah rangka kerja Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dengan fokus kepada isu-isu ekonomi, sosial dan kebajikan rakyat, gabungan ini berpotensi untuk menjadi pilihan utama rakyat Kedah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama erat antara semua parti dalam kerajaan Perpaduan adalah kunci kepada kejayaan dan ianya perlu diperkukuh untuk memastikan misi menawan kembali Kedah dapat dicapai demi kebaikan seluruh rakyat negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN