JOHOR BAHRU: Pergerakan Pemuda UMNO Johor kesal dengan sikap gelojoh dan sifat tamak yang ditunjukkan Parti Amanah Negara (Amanah) yang menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, tindakan itu langsung tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris Allahyarhamah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang baharu meninggal dunia Jumaat lalu.
Katanya, sikap gelojoh dan tamak yang dipamerkan pimpinan Amanah Kluang itu hanya menzahirkan kiblat kuasa tanpa meletakkan sempadan nilai simpati dalam amalan mereka berpolitik.
“Seharusnya pimpinan Amanah menunjukkan contoh dengan menghormati sensitiviti keluarga dan waris Allahyarhamah dengan tidak secara terbuka membuat desakan secara tergopoh-gapah.
“Sikap gelojoh dan sifat tamak bukan nilai yang wajar untuk disemai dalam kalangan rakan-rakan, dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan semua parti yang sama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Hari ini, Amanah Kluang mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang dijangka diadakan.
Ketuanya, Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain dilaporkan berkata, desakan itu susulan Amanah pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan turut bertanding kerusi itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2022.
Mengulas lanjut, Noor Azleen berkata, keutamaan untuk memanfaatkan platform dalaman secara bermesyuarah adalah lebih afdal.
“Selain itu, kesepakatan semua pimpinan di setiap peringkat Kerajaan Perpaduan seharusnya menjadi asas dalam usaha kita sama-sama mendapat kepercayaan dan keyakinan seluruh rakyat,” katanya.
Pada PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman daripada Amanah, calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan serta calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman. – UTUSAN











