576 penduduk Felda Jengka 24 gotong royong kacau bubur asyura 24 kawah - Utusan Malaysia

576 penduduk Felda Jengka 24 gotong royong kacau bubur asyura 24 kawah

RAZAK Daud (tiga dari kanan) sedang mengisi bubur asyura di Felda Jengka 24 di Jerantut, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seramai 576 penduduk Felda Jengka 24 di sini bergotong royong membuat bubur asyura sebanyak 24 kawah di perkarangan Masjid Felda Jengka 24 di sini.

Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, program ini kali ini istimewa kerana menggabungkan angka 24 sebagai simbolik perpaduan penduduk di situ.

Menurutnya, bilangan 24 kawah bubur asyura itu sempena nama tanah rancangan terbabit dan bertepatan pula dengan tarikh 24 Muharam mengikut kalender Islam.

“Seramai 576 orang terlibat dalam program ini kerana setiap kumpulan disertai 24 orang bergotong royong memasak bubur asyura daripada peringkat awal sehingga masak dan seterusnya disumbangkan kepada asnaf, sekolah tahfiz, anak yatim dan orang ramai.

“Program mengacau bubur asyura tahun ini lebih meriah dengan penglibatan keluarga dan anggota masyarakat dan semua agensi dan institusi di Felda Jengka 24 seperti Felda Global Venture (FGV) yang dapat mengeratkan ikatan silaturahim dan semangat permuafakatan,” katanya di Felda Jengka 24 di sini semalam.

Razak berkata, program itu begitu meriah kerana setiap blok mempamerkan kreativiti bagi menghiaskan kawasan masing-masing bertemakan Islam dan patriotik.

Ketua blok 12, Hassan Mat Zain berkata, program itu bertujuan memupuk semangat kerjasama dan merapatkan ukhwah dalam kalangan penduduk.

Beliau berkata, ia juga menyemai semangat kecintaan dan rasa bersyukur kepada Allah SWT dengan amalan mulia dalam bulan yang penuh keberkatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×