JERANTUT: Hampir 1,000 penduduk memenuhi pekarangan Masjid As-Sobirin Felda Jengka 24 di sini hari ini bagi menjayakan sambutan Maulidur Rasul peringkat tanah rancangan itu yang berlangsung dalam suasana penuh meriah dan rasa kesyukuran.
Program tahunan tersebut menyaksikan penglibatan menyeluruh daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk generasi pertama, belia dan kanak-kanak yang mula berhimpun seawal pukul 7.30 pagi.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, kehadiran itu membuktikan semangat perpaduan dan ukhuwah dalam kalangan warga peneroka masih teguh terpelihara.
Menurutnya, sambutan pafa kali ini bukan sekadar aktiviti rutin tahunan, sebaliknya menjadi wadah terbaik untuk memperingati perjuangan dan keperibadian mulia Nabi Muhammad SAW.
“Penganjuran program sebegini berupaya menyatukan hati warga Felda Jengka 24 selain menyemarakkan lagi rasa cinta dan rindu kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
”Kita mahu generasi muda di tanah rancangan ini terus menghayati ajaran Rasulullah SAW dan menjadikannya sebagai panduan hidup seharian,” katanya di sini.
Acara dimulakan dengan perarakan selawat sejauh hampir dua kilometer bermula dari padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Jengka 24 menuju ke Masjid As-Sobirin sebelum diteruskan dengan majlis ceramah khas.
Majlis diakhiri dengan jamuan yang disediakan secara gotong-royong oleh jawatankuasa masjid dan penduduk tempatan. – UTUSAN











