KUALA LUMPUR: Hujahan di akhir pendakwaan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bermula dengan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa hujahan utamanya merangkumi lebih 2,500 muka surat.
Tambahnya, jumlah tersebut tidak termasuk hujahan balas yang akan mencecah lebih 3,000 muka surat di akhir hujahan.
“Kami memohon maaf kerana tidak boleh meringkaskan hujahan kami kerana terlalu banyak perkara yang perlu dinyatakan,” kata peguam itu.
Meneruskan hujahannya dengan menyentuh mengenai pertuduhan pertama yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, Muhammad Shafee menyatakan pertuduhan itu cacat kerana terdapat pelbagai pertindihan yang akhirnya mewujudkan kekeliruan.
Pada 30 Mei lalu, pendakwaan akhirnya menutup kes selepas perbicaraan mengambil masa selama enam tahun. Prosiding perbicaraan kes itu berlangsung selama 235 hari.
Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.
Bekas Perdana Menteri itu didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN









