PETALING JAYA: Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia menganjurkan acara ‘Larian Untuk Harimau’ yang merupakan satu larian riadah sejauh 3.5 kilometer bersempena Hari Harimau Sedunia 2024, Ahad ini.
WWW Malaysia juga telah bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, syarikat, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penyokong individu untuk melindungi alam sekitar dan memastikan pemeliharaan habitat haiwan serta kawasan alam sekitar yang penting selama lebih 50 tahun.
Dalam satu kenyataan, WWF Malaysia berkata, salah satu usaha utama mereka adalah pemuliharaan harimau Malaya menunjukkan keazaman yang teguh dalam usaha melindungi salah satu spesies ikonik Malaysia itu.
Katanya, dalam acara larian ini, peserta berpeluang berpakaian sebagai haiwan kegemaran mereka dan memenangi hadiah untuk peserta berpakaian terbaik.
“Selain itu, terdapat juga laluan halangan mini, pameran, dan program interaktif berkaitan yang akan dilaksanakan seiring dengan usaha bagi pemuliharaan harimau Malaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi dan Pemasaran WWF Malaysia, Rozana Basri berkata, acara ini akan diadakan pada hari Ahad bersamaan 21 Julai 2024 bermula jam 6:30 pagi hingga 9:30 pagi bertempat di Taman Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur.
“Acara ini juga anjuran bersama dengan sebuah bank yang akan dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga akan turut serta dalam larian riadah ini,” jelasnya lagi.
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai larian riadah ‘Larian Untuk Harimau’, pendaftaran boleh dibuat melalui pautan berikut dan terus menyokong usaha pemuliharaan harimau Malaya
(https://www.jomrun.com/event/Run-for-Tigers-in-Conjunction-with-Global-Tiger-Day-2024).
– UTUSAN









