HANOI: Vietnam memfailkan tuntutan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pelantar benua lanjutan (ECS) di Laut China Selatan, sebulan selepas negara jiran serantau Filipina membuat langkah sama.
Kementerian Luar Vietnam berkata, tuntutan pelantar benua melebihi 370 kilometer (KM) itu adalah untuk melaksanakan hak dan kewajiban negara mengikut rangka kerja maritim.
Ini adalah permohonan ECS yang ketiga oleh Vietnam, termasuk tuntutan berkaitan kawasan utara Laut China Selatan atau Laut Timur Vietnam dan tuntutan bersama dengan Malaysia berhubung bahagian selatan kawasan itu pada 2009.
Kementerian berkata, Vietnam juga menghantar nota bantahan kepada Setiausaha Agung PBB untuk menyatakan pendiriannya berhubung tuntutan serupa yang difailkan oleh Filipina, Jun lalu.
“Vietnam mengesahkan kedaulatannya terhadap kepulauan Hoang Sa (Paracel) dan Truong Sa (Spratly) mengikut undang-undang antarabangsa,” katanya.
China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk bahagian yang dituntut oleh Filipina, Brunei, Malaysia, Taiwan dan Vietnam.
Kawasan strategik ini, dengan perdagangan bernilai AS$3 trilion (RM13 trilion) setiap tahun, dipercayai kaya dengan sumber minyak, gas asli dan hidupan laut.
Pada 2016, Mahkamah Timbang Tara Tetap mendapati tuntutan menyeluruh oleh China itu tidak mempunyai asas undang-undang, namun Beijing menolak keputusan tersebut.- REUTERS











