TAIPING: UMNO tidak memaksa ahli akar umbi parti itu dalam membentuk hubungan erat dengan akar umbi Pakatan Harapan (PH), yang ketika ini dilihat sukar mencapai keserasian.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keadaan itu adalah proses biasa dan pernah dilalui oleh UMNO sendiri sewaktu mula berkerjasama dengan parti lain termasuk Pas semasa membentuk gagasan Muafakat Nasional.
“Ini proses biasa, sebab kita di peringkat pimpinan pun kita tidak ada pendekatan untuk memaksa. Kita ambil pendekatan biar ia berlaku secara natural di peringkat akar umbi,” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Taiping di sini hari ini.
Pada 11 Julai lalu, Timbalan Presiden parti Amanah Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dilaporkan berkata bahawa di peringkat akar umbi keadaan masih berselarak dengan pelbagai masalah dalaman parti masing-masing.
Baginya, hal itu menyumbang gerak kerja yang masih tempang di akar umbi terkhusus antara PH-BN walaupun peringkat atasan pemimpin PH-BN dapat menyesuaikan diri sesama mereka.
Jelasnya lagi, di peringkat negeri dan bahagian pula seolah ada jurang besar antara PH-BN dalam mencapai maksud politik kesepakatan yang sebenar.
Ulasan oleh Mujahid itu dibuat susulan daripada keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) berjaya mengekalkan kerusi tersebut.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi bagaimanapun tetap optimis hubungan erat itu akan dicapai namun perlu mengambil masa.










