UMNO kini usaha kembalikan kepercayaan orang Melayu - Khaled - Utusan Malaysia

UMNO kini usaha kembalikan kepercayaan orang Melayu – Khaled

MOHAMED KHALED Nordin menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 sempena Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Perjuangan UMNO kini bukan sahaja untuk mendapatkan kuasa, malah bagi mengembalikan kepercayaan dan keyakinan orang Melayu kepada parti tersebut.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekiranya semua pihak memahami situasi UMNO ketika ini, seharusnya mereka bersama-sama membantu pucuk pimpinan parti menarik semula keyakinan orang Melayu supaya terus kekal dalam pesada politik tanah air walaupun tidak berkuasa sepenuhnya.

“Sebaliknya, jika kita memilih berjuang untuk kuasa semata-mata, belum tentu kekal kerana sokongan di peringkat akar umbi semakin berkurangan  dan orang Melayu terus menjauhkan diri daripada UMNO.

“Oleh itu, semua pemimpin UMNO di peringkat akar umbi perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengembalikan kepercayaan orang Melayu kepada UMNO,” katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, jika ingin melihat UMNO kembali kuat, ahli-ahli parti itu tidak seharusnya menyalahkan pucuk pimpinan sahaja.

Tegasnya, kedudukan UMNO  dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya terus dipertikaikan termasuk oleh ahli-ahli UMNO kerana ia merupakan satu jajaran startegik politik bagi tempoh lima tahun dan bukan untuk menggadaikan prinsip serta nilai perjuangan, malah menjadi jurucakap bagi orang Melayu dalam pelbagai bidang seperti yang dilakukan sebelum ini.

Mohamed Khaled berkata, perkara tersebut perlu difahami oleh semua ahli UMNO supaya  tiada lagi timbul desakan daripada mana-mana pihak supaya UMNO meninggalkan Kerajaan Perpaduan.

Mengenai DAP, parti itu juga telah banyak menunjukkan  kesederhanaan apabila UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan dan boleh berterusan untuk kebaikan negara ini.

“Bagi terus memastikan rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni, kesederhanaan adalah kunci utama termasuk kepada parti-parti politik yang ada,” katanya.

Justeru, beliau meminta ahli-ahli UMNO terus bekerja kuat bagi memastikan parti itu terus kekal dalam persada politik tanah air dengan memastikan kemenangan calon-calonnya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN