UMNO Gua Musang sudah tentukan calon PRK Nenggiri

UMNO Gua Musang sudah tentukan calon PRK Nenggiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: UMNO Gua Musang sudah membuat undian untuk menentukan siapa yang akan dipilih sebagai calon untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri 17 Ogos ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Mohd. Syahbuddin Hasim berkata, perkara tersebut merupakan amalan tradisi sejak sekian lama dalam memilih pemimpin untuk menjadi calon wakil rakyat.

“Alhamdulillah proses itu sudah selesai ia melibat semua Ahli Jawatankuasa UMNO peringkat bahagian termasuk ketua-ketua sayap parti.

“Nama yang menerima undian tertinggi akan dibawa oleh Ketua Bahagian Tengku Razaleigh Hamzah kepada Presiden parti untuk mendapat restu dan seterusnya dinamakan sebagai calon,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Syahbuddin mem­­beritahu, pihaknya me­nyambut baik pelantikan Tengku Razaleigh sebagai Pengarah Pilihan Raya DUN Nenggiri.

Katanya, pelantikan itu tetap kerana Tengku Razaleigh mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran pilihan raya.

“Insya Allah, kami sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRK Nenggiri,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos depan bagi hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) N.43 Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Pengerusinya, Datuk Se­ri Ramlan Harun memaklumkan, tarikh pe­namaan calon pada 3 Ogos, manakala hari pengundian awal ditetapkan pada 13 Ogos 2024.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi sementara bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim untuk menghentikan PRK atas alasan beliau masih penyandang yang sah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN