KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah diberikan arahan ketat oleh Institut Jantung Negara (IJN) agar tidak meninggalkan hospital pakar itu untuk memberi keterangan dalam kes saman fitnahnya terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu ‘kutty’.
Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili bekas Presiden Bersatu itu berkata, pihaknya telah cuba untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak IJN untuk Dr. Mahathir, 99, hadir memberi keterangan di Mahkamah semalam.
“Bagaimanapun pada lewat petang Selasa lalu, doktor pakar (yang merawat Dr. Mahathir) telah memberikan arahan ketat untuk tidak membenarkan Tun keluar daripada hospital. Selepas mendapat pengesahan tersebut, kami telah menulis surat kepada mahkamah pada pagi 17 Julai lalu (Rabu),” katanya.
Semalam sepatutnya hari pertama perbicaraan kes saman berkenaan selepas prosiding pada 13 Februari lalu ditangguhkan kerana Dr. Mahathir tidak sihat dan diberi sijil cuti sakit (MC) oleh IJN.
Terdahulu, peguam terbabit memberitahu, Dr. Mahathir tiba dari London pada Ahad malam dan telah mendapatkan rawatan di IJN pagi Isnin lalu kerana mengalami masalah pernafasan. Beliau kemudian terus dimasukkan ke wad untuk rawatan sehingga semalam.
Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong sebelum membenarkan penangguhan meminta agar peguam mewakili Dr. Mahathir menasihati bekas Presiden UMNO itu untuk tidak keluar negara sebelum tarikh perbicaraan akan datang iaitu 26 Ogos ini.
“Walaupun saya bersimpati (dengan kesihatan Dr. Mahathir) tetapi kes ini perlu diteruskan memandang ia merupakan kes sejak 2022. Saya juga berharap agar Tun akan sembuh dengan segera dan boleh hadir pada tarikh perbicaraan akan datang,” kata Techiong.
Mahkamah turut mengarahkan saksi kedua plaintif iaitu Datuk Seri Mukhriz untuk bersedia memberi keterangan pada tarikh akan datang sekiranya Dr. Mahathir masih tidak sihat.
“Sebaiknya, sebagai plaintif, Dr. Mahathir sepatutnya memberi keterangan terlebih dahulu tetapi sekiranya Dr. Mahathir masih tidak sihat, maka saksi kedua perlu bersedia untuk memberi keterangan,” katanya.
Pada prosiding sama, peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid turut menyatakan rasa simpati terhadap keadaan Dr. Mahathir.
Pada 20 Julai 2022, Dr. Mahathir memfailkan saman itu dengan menamakan Ahmad Zahid, 71, yang juga Presiden UMNO sebagai defendan. – UTUSAN










