ISKANDAR PUTERI: Gaya hidup pasangan suami muda yang memilih untuk tidak memiliki anak atau childfree dilihat sebagai trend yang amat membimbangkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail berkata, trend yang menular dalam kalangan pasangan muda itu boleh merosakkan institusi kekeluargaan.
Katanya, trend tersebut menyumbang terhadap penurunan statistik kelahiran hidup sebanyak 9.4 peratus, iaitu 106,386 kelahiran pada suku pertama tahun ini berbanding 117,413 kelahiran tahun lalu selain tahap kesuburan pasangan suami isteri.
“Malangnya, ketika ada pasangan yang begitu terdesak untuk mendapatkan zuriat, kini ada segelintir pihak yang mempopularkan childfree dalam kalangan pasangan muda untuk menolak kehadiran cahaya mata dalam rumah tangga.
“Apa jua alasan yang diberikan budaya childfree ini dilihat sangat tidak sihat dan boleh mengganggu-gugat peranan institusi kekeluargaan,” katanya pada Sambutan Hari Ibu Bapa Peringkat Negeri Johor 2024 di Dewan Utama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, di sini semalam.
Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dilaporkan menasihatkan pasangan muda supaya tidak menganggap anak adalah beban mahupun alasan untuk tidak memiliki cahaya mata.
Dalam pada itu, Khairin-Nisa mengakui menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa dalam era moden sangat mencabar dan kompleks kerana bukan sahaja dari sudut emosi dan fizikal, malah perlu berdepan dengan tekanan persekitaran.
Katanya, antara cabaran utama adalah mendepani kos sara hidup tinggi, masalah keseimbangan kerja dan keluarga, kewangan, pendidikan anak, tekanan kerja dan berpendapatan rendah.
“Terdapat kecenderungan ibu bapa untuk mencederakan atau melakukan sesuatu di luar kawalan terhadap ahli keluarga. Situasi ini tidak boleh dipandang remeh kerana melibatkan isu kesihatan dan kesejahteraan mental ibu bapa,” ujarnya.











