JOHOR BAHRU: Polis negeri ini berjaya menumpaskan tiga sindiket mencuri kenderaan mewah yang bergiat aktif di kira-kira enam bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, sindiket itu antara lapan sindiket mencuri kenderaan yang berjaya ditumpaskan pihaknya menerusi Op Lejang yang dijalankan pada 21 Jun hingga 21 Julai lalu.
Katanya, lapan tangkapan melibatkan tiga sindiket curi kenderaan mewah, manakala enam tangkapan membabitkan dua sindiket curi kenderaan lama dan 10 lagi tangkapan melibatkan tiga sindiket curi motosikal.
“Modus operandi digunakan sindiket curi kenderaan mewah adalah menggunakan peralatan berteknologi tinggi. Mereka akan mengenal pasti kenderaan yang hendak dicuri sebelum memasang alat pengesan untuk diekori.
“Setelah memastikan kenderaan itu berada di lokasi sesuai, ahli sindiket bergerak akan dalam kumpulan kecil seramai dua atau tiga orang untuk melakukan jenayah tersebut.
“Apabila pintu kenderaan berjaya dibuka, mereka menggunakan alat untuk menghidupkan enjin selain turut menggunakan ‘jammer’ bagi menghalang signal GPS daripada kenderaan itu dikesan. Kesemua perbuatan itu dijalankan dengan pantas dalam tempoh kira-kira 30 saat sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Deputi Komisioner Afandi Senin dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.
Kumar berkata, sindiket curi kenderaan mewah itu kemudian akan menggunakan laluan darat untuk membawa kenderaan itu keluar negara dan diedarkan kepada pembeli.
“Sejak Januari tahun ini, kita telah terima 69 laporan melibatkan kecurian kenderaan mewah dengan nilai kerugian sebanyak RM8.8 juta,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pihaknya berjaya menahan seramai 116 suspek termasuk enam warga asing sepanjang tempoh sebulan operasi itu dijalankan.
Kesemua yang ditahan berusia antara 16 hingga 59 tahun dengan 112 daripadanya lelaki, manakala bakinya wanita dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 379A, Seksyen 411 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan selain Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN











