KUALA PILAH: Tiga orang kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang dari sebuah pusat jagaan anak-anak Yatim di daerah ini pada hari Jumaat lalu ditemukan di Simpang Bekoh, Melaka, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, ketiga kanak-kanak perempuan berkenaan di bawa ke Balai Polis Simpang Bekoh selepas mendapat maklumat daripada orang awam mengenai keberadaan mereka.
Menurutnya, kira-kira pukul 9 malam, pihak Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Pilah telah memeriksa tiga kanak-kanak perempuan bersama dua Wanita dewasa di Balai Polis Simpang Bekoh.
“Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga kanak-kanak tersebut merupakan kanak-kanak yang dilaporkan hilang dari sebuah pusat jagaan anak-anak yatim di Taman Cemerlang, Kuala Pilah.
“Ketiga-tiga kanak-kanak tersebut telah dijumpai dalam jagaan nenek kepada salah seorang kanak-kanak tersebut.
Kesemua kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serta diserahkan semula kepada pihak pengurusan pusat jagaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan ketiga-tiga mereka yang berusia antara 11 hingga 14 tahun itu dilaporkan hilang dari sebuah pusat jagaan anak-anak yatim milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan laporan kehilangan dibuat oleh pusat jagaan tersebut pada hari sama.-UTUSAN.











