KUANTAN: Sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas dengan menguatkuasakan larangan penghasilan dan penjualan penyedut minuman serta cawan plastik pakai buang.
Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Dr. Mohd. Firdaus Abdullah berkata, kempen larangan penggunaan penyedut minuman dan cawan plastik sudah dilaksanakan di beberapa negeri, namun masih gagal akibat penguatkuasaan lemah.
Akibatnya, beliau mendakwa, lebih 70 peratus kedai makan dan restoran di seluruh negara masih menggunakan bahan berkenaan.
“Untuk mendidik rakyat tentang bahaya penyedut minuman dan cawan plastik yang mencemarkan sungai dan lautan sekali gus memberikan kesan buruk kepada hidupan marin serta keseluruhan rantaian makanan, kita kena mula dari asas, iaitu jangan benarkan penghasilan dan penjualannya.
“Kerajaan kena tegas dalam isu ini, jika tidak Malaysia akan kekal antara negara tertinggi di dunia menyumbang kepada pencemaran laut dan mengancam kehidupan marin akibat pembuangan plastik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan dianggarkan sembilan bilion tan pelbagai jenis plastik digunakan dan dibuang rakyat Malaysia setiap tahun sekali gus merekodkan negara ini berada di tangga kelima tertinggi di dunia menyumbang kepada pencemaran laut dan mengancam kehidupan marin.
Menerusi data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2022 mendapati daripada 210,966 sisa plastik yang dihasilkan, hanya 33.16 peratus dikitar semula.
Situasi ini menyebabkan Malaysia direkodkan berada di tangga kelima tertinggi di dunia dalam isu pencemaran laut, iaitu dengan kadar 2.29 kilogram (kg) plastik per kapita digunakan rakyat setiap tahun.
Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus berkata, isu pencemaran plastik di lautan semakin kritikal dan perlu segera diatasi kerana ia membawa kemudaratan kepada hidupan laut dan manusia.
Beliau berkata, YPNM juga mencadangkan semua pihak menggantikan beg plastik dengan beg kertas mesra alam.
Menurutnya, jika dibandingkan, jelas dapat dilihat perbezaan mentaliti rakyat Malaysia dengan penduduk negara maju terhadap penggunaan plastik.
“Kerajaan juga perlu menitikberatkan soal pendidikan kepenggunaan tentang mudarat plastik dan kempen menyeluruh serta menguatkuasakan undang-undang yang lebih serius bagi mengubah sikap pengguna dalam isu penggunaan plastik.
“YPNM juga mencadangkan penggunaan cawan pinggan plastik pakai buang digantikan dengan barangan sama diperbuat daripada sabut tandan kelapa sawit yang lebih mesra alam sepertimana China yang mengimport gentian tandan sawit untuk dibuat kertas dan pelbagai penggunaan lain,” katanya. – UTUSAN











