PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi akan memastikan semua pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A ke atas bakal mendapat tempat di matrikulasi atau program asasi universiti awam (UA).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, semua lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang memperoleh keputusan 10A ke atas dan tidak mendapat tempat di matrikulasi atau program asasi universiti awam (UA) akan ditawarkan tempat sewajarnya.
Justeru itu katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan akan bekerjasama mengenal pasti kumpulan pelajar terlibat.
“Mungkin mereka tidak mendapat tempat di matrikulasi tetapi mereka boleh dapat program asasi di UA (universiti awam). Saya fikir sekarang ialah tempoh untuk penyesuaian, sama ada mereka dapat kedua-duanya atau biasiswa. Mereka perlu memilih satu.
“Kami percaya kami tidak mempunyai banyak isu kerana tempat di universiti di bawah program asas serta matrikulasi mencukupi,” katanya selepas pertemuan Concorde Club di sini semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan semua lulusan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian pada peringkat matrikulasi.
Katanya, ia merupakan keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lalu.
Keputusan permohonan program matrikulasi KPM dan program asasi UA di bawah KPT bagi lulusan SPM 2023 diumumkan, masing-masing pada 20 Jun dan 28 Jun lalu.
Selain itu, Zambry berkata, mereka yang meraih keputusan 10A ke atas atau keputusan semua A namun tidak mendapat tempat pada kedua-dua program berkenaan, boleh mengemukakan rayuan.
Mengulas berkenaan pengumuman Perdana Menteri, Zambry berkata, langkah itu sebahagian usaha kerajaan untuk memastikan peluang saksama dan mengiktiraf pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelajaran serta mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan keputusan itu sebagai bahan politik.
“Kuota Bumiputera tidak tergugat tetapi dalam masa sama jumlah yang dapat 10A ke atas akan diberikan pada semua dan memang kita boleh bagi pada semua. Jadi, tidak timbul isu kuota bumiputera dikurangkan,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan menegaskan untuk tetap mempertahankan kuota bumiputera dalam jaminan tempat melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi, tetapi pada masa sama mengiktiraf pelajar-pelajar yang cemerlang berdasarkan prinsip meritokrasi.
Perdana Menteri berkata, prinsip itu adalah adil dan munasabah selagi mereka yang cemerlang itu adalah rakyat di negara ini tanpa mengira kaum mesti dipelihara.
Menurut beliau, negara sejak merdeka sekian lama telah cuba dalam persaingan pendidikan dalam konteks Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menuju tahap lebih cemerlang dan kian ramai mendapat 10A ke atas dalam kalangan Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak.
“Tiap kali kerana kita ada kuota bumiputera, kadang-kadang dijadikan isu keterlaluan, di satu pihak nak menafikan hak minoriti, satu pihak lagi nak pertikai prinsip Perlembagaan dan jaminan kepada bumiputera terutama secara nisbi dalam kedudukan lebih rendah kerana kemudahan di desa dan miskin bandar.
“Maka kita ambil jalan agak adil dan munasabah. Kalau dia itu rakyat di negara kita, maka harus pelihara. Kita juga menerima kenyataan tentang meritokrasi. Siapa dapat 10A tanpa mengira kaum dan wilayah, kita berikan jaminan tempat di matrikulasi atau bagi bumiputera, ada asasi,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri Bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini semalam.
Anwar berkata, hampir setiap tahun Kementerian Pendidikan Malaysia terpaksa menghadapi isu sebegini kerana pembenturan itu menghangatkan suhu politik menyebabkan ketegangan kaum dan sosial.
Katanya, dasar kuota bumiputera harus dikekalkan kerana ini keputusan sudah lama dan dikaitkan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 153, dan jaminan masa depan Melayu supaya jangan berlaku kesenjangan.
Bagaimanapun, jelas beliau, prinsip meritokrasi yang turut diamalkan mesti mengikut konsep keadilan dan kesaksamaan melibatkan semua pihak.










