PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) merancang mengumumkan tawaran haji dua tahun lebih awal dari tahun giliran kepada bakal haji bagi mengatasi isu menolak tawaran menunaikan haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, rancangan itu terkandung dalam Blueprint Haji bagi menambah baik dan meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Beliau berkata, seramai 10,036 individu menolak tawaran menunaikan haji bagi musim 1445H/2024M yang dikeluarkan kepada 31,600 orang di bawah kuota rasmi negara diperuntukkan Kerajaan Arab Saudi.
Katanya, rancangan itu akan memberi masa kepada bakal jemaah untuk mencukupkan simpanan dan membuat persediaan dari segi kesihatan dan apa-apa keperluan lain.
“Individu yang menolak tawaran memohon untuk menangguhkan tawaran atas pelbagai faktor seperti masalah kesihatan, kewangan, peribadi, urusan keluarga, pendidikan anak dan masalah cuti selain tidak menjawab tawaran.
“Semua pendeposit Tabung Haji tanpa mengira peringkat umur, boleh membuat pendaftaran haji dan akan dipilih menunaikan fardu haji apabila tiba giliran tahun yang diperuntukkan kepada mereka berdasarkan prinsip mendaftar dahulu akan didahulukan. Sistem pendaftaran terbuka itu diterima pakai oleh umum sejak 1995,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan calon jemaah haji yang mendapat tawaran dan bilangan mereka yang menolak tawaran pada 2024 , serta usaha kerajaan menangani masalah penolakan selain sebab utama mereka menolak tawaran.
Tambah Mohd. Na’im, walaupun segala persediaan telah dilakukan untuk menunaikan haji, masih terdapat bakal jemaah haji memohon penangguhan atas pelbagai sebab terutama tidak dapat memenuhi syarat istito’ah seperti kesihatan dan kewangan.
“Jika mereka menunda atau menangguh panggilan haji pada tahun semasa, peluang jemaah haji berkenaan masih ada untuk tahun akan datang tertakluk kepada kekosongan,” katanya. – UTUSAN










