SEREMBAN: Tauliah mengajar bagi pendakwah, Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid, 40, di Negeri Sembilan telah tamat pada 29 Jun lalu.
Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Faudzinaim Badarudin berkata, sekiranya Ustaz Don berhasrat untuk memperbaharui tauliahnya, dia boleh membuat permohonan kepada pihak Jabatan Mufti Negeri Sembilan.
Permohonan tersebut menurut beliau akan diproses seperti biasa mengikut kaedah yang diguna pakai dalam peraturan tauliah Negeri Sembilan.
“Oleh kerana Ustaz Don terbabit dengan kontroversi baru-baru ini, Jabatan Mufti Negeri Sembilan akan memproses permohonan tersebut melalui sesi temuduga dan penjelasan sebelum sebarang keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Tauliah Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.
“Namun demikian, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Negeri Sembilan belum menerima sebarang permohonan pembaharuan tauliah Ustaz Don sehingga ke hari ini,” katanya Ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, menerusi semakan di direktori Tauliah Mengajar Agama Negeri Sembilan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus (E-TaMANS) Ustaz Don diberikan tauliah bagi mengajar di negeri ini dalam bidang Al-Quran dan Tajwid, Tafsir, Akhlak, Asas Fardu Ain dan Lain-lain (Sirah Nabawi, Motivasi).
Pendakwah tersebut sebelum ini berdepan beberapa kontroversi termasuk khidmatnya digugurkan sebagai pengacara program Salam Baitullah terbitan RTM di TV1 kerana mengulangi perbuatan ingkar arahan penerbit dan tidak patuh skrip.-UTUSAN.











