SAN JUAN: Sebahagian besar kawasan tenggara Caribbean berada dalam keadaan berwaspada apabila ribut tropika Beryl menjadi taufan pertama musim Atlantik 2024, dengan Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC) mengeluarkan amaran kategori empat.
NHC berkata, Beryl yang kini berpusar-pusar di Lautan Atlantik kira-kira 850 kilometer di timur Barbados, dijangka membawa ‘angin dan gelombang ribut yang mengancam nyawa’ apabila tiba di Kepulauan Windward, awal Isnin.
Amaran taufan dikeluarkan di Barbados, Saint Lucia, Saint Vincent, Kepulauan Grenadines, Grenada dan Tobago, kata NHC dalam nasihat terbaharunya.
Manakala, amaran ribut tropika pula berkuat kuasa untuk Martinique, Dominica, Trinidad dan sebahagian Republik Dominican serta Haiti.
Menurut NHC, Saint Vincent, Grenadines dan Grenada berada pada risiko tertinggi bermula awal Isnin.
Kereta dilihat berbaris di stesen minyak di Bridgetown, ibu kota Barbados, manakala pasar raya dan kedai runcit sesak dengan pembeli yang membeli makanan, air dan bekalan lain.
Sebagai langkah awal, Tobago membuka pusat perlindungan, menutup sekolah pada Isnin dan membatalkan pembedahan elektif di hospital.
NHC turut memberi amaran risiko banjir kilat di kawasan tertentu, selain ombak besar dijangka melanda pantai selatan Puerto Rico dan Hispaniola.
Mei lalu, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan AS meramalkan aktiviti taufan luar biasa di Atlantik pada 2024, sebahagiannya disebabkan oleh suhu laut yang hampir mencatatkan rekod panas.










