Taufan Beryl kini ancam Jamaica

Taufan Beryl kini ancam Jamaica

TAUFAN Beryl memusnahkan Saint Vincent dan Grenadines.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOGOTA: Taufan Beryl, yang mencetuskan hujan lebat dan angin kencang, kini bergerak ke pantai Jamaica selepas badai kuat itu memusnahkan bahagian tenggara Caribbean.

Sekurang-kurangnya tujuh kematian dikaitkan dengan ribut kuat itu, tiga dilaporkan di pulau Grenada, tiga lagi di Venezuela serta satu di Saint Vincent dan Grenadines.

Beryl adalah taufan Atlantik terawal yang direkodkan mencapai kekuatan Kategori 5, bermakna ia mengekalkan angin lebih kuat daripada 251 kilometer sejam, penanda tertinggi pada skala taufan Saffir-Simpson.

Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan kesan kemusnahan meluas terhadap rumah kediaman, balai polis, sekolah, hospital dan jalan raya.

Perdana Menteri Grenada, Dickon Mitchell berkata, dalam masa setengah jam, pulau Carriacou yang menjadi tempat tinggal kira-kira 9,000 orang musnah.

“Kita hampir tidak dapat berhubung dengan Carriacou selama 12 jam, dan mungkin ada peningkatan dalam jumlah kematian,” kata Mitchell.

Pihak berkuasa melaporkan bahawa 98 peratus daripada bangunan di pulau itu rosak.

Beryl kini mengancam Jamaica dan dijangka mendarat dalam tempoh beberapa jam sebagai taufan Kategori 4, dengan angin berkelajuan 233 kilometer sejam.

Menurut Pusat Taufan Kebangsaan (NHC), taufan itu dijangka bergerak ke Kepulauan Cayman dan kemudian Semenanjung Yucatan di Mexico.

“Beryl dijangka menyebabkan angin dan ribut yang mengancam nyawa di Jamaica dan di Kepulauan Cayman pada Rabu dan hari ini,” lapor NHC.

Pertubuhan Meteorologi Dunia berkata, tidak pernah taufan sebesar itu direkodkan sebelum ini di Atlantik, dan percaya ia dipengaruhi daripada kesan pemanasan laut yang disebabkan oleh perubahan iklim.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN