TAMPIN: Kejohanan basikal lasak, Tampin MTB Jamboree pada tahun ini berjaya menarik sebanyak 2,053 penyertaan dari dalam dan luar negara iaitu peningkatan berbanding edisi tahun lalu iaitu sebanyak 1,800 peserta.
Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin (MDT), Mohd. Fadhil Hassan berkata, Tampin MTB Jamboree 2024 akan berlangsung selama dua hari bermula 6 Julai ini di Akademi Kecemerlangan Minda dan Fizikal (Akal) Felda Bukit Rokan, Gemencheh, di sini.
Katanya, kejohanan dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) pada awalnya menyasarkan penyertaan seramai 1,500 peserta namun dalam masa 18 hari sambutan peserta meningkat hingga mencecah seramai 2,053.
“Tahun ini, penyertaan dari negara luar juga adalah seramai 273 orang. Sambutan kali ini sangat menggalakkan dan kami merancang untuk membuka penyertaan lebih besar pada masa akan datang.
“Tahun ini, kategori telah ditambah dari 10 kepada 15 kategori, bermula 18 tahun ke bawah sehingga 60 tahun ke atas mengikut umur dan berat.
“Buat pertama kali tahun ini juga akan dianjurkan Kejohanan Push Bike Challenge Terbuka Kebangsaan melibatkan penyertaan kanak-kanak dari seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar Majlis Memperkenalkan Penaja Tampin MTB Jamboree 2024 di Dewan Bandaran Tampin, di sini, hari ini.
Mohd. Fadhil berkata, secara keseluruhannya, trek kejohanan kali ini sepanjang 36 kilometer di melibatkan laluan hutan, berbukit, kebun dan sungai.
“Turut terdapat check point yang akan menampilkan beberapa keunikan seperti persembahan kebudayaan dan makanan tradisional.
“Peserta juga berpeluang untuk menjamu selera menu seperti rendang maman, masak lemak cili api, dodol Tampin dan tart Bengkulu,” katanya lagi.-UTUSAN.










