JELI: Seorang lelaki terpaksa menahan sakit hampir enam jam selepas kaki kirinya tersepit di celah batu dalam kejadian di Kampung Kuala Balah, di sini semalam.
Dalam kejadian itu berlaku semasa mangsa yang berusia 31 tahun ke kawasan itu untuk mencari ikan bersama sepupunya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.11 petang.
Menurutnya, sejurus tiba di lokasi sepasukan anggota mendapati mangsa sedang menahan kesakitan.
“Alhamdulillah selepas lebih satu jam berusaha dan bantuan penduduk kampung mangsa telah berjaya di selamatkan.
“Operasi tamat sepenuhnya pukul 6.40 petang. Mangsa kemudian telah dibawa keluar dan dihantar ke Klinik Kesihatan Kuala Balah untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohd. Adni memberitahu, seramai 10 anggota telah dihantar ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.
Katanya, bomba terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk tiba ke lokasi kerana ia berada di kawasan pedalaman.-UTUSAN









