Suspek rentung, dua anggota polis parah kereta terbabas

Suspek rentung, dua anggota polis parah kereta terbabas dalam parit

KEADAAN kereta peronda polis dan suspek yang rentung dalam kemalangan di Jalan Benteng, Parit Kongsi 4, Parit Jawa, Muar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang individu suspek kes jenayah rentung, manakala dua anggota polis cedera parah apabila kedua-dua kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Jalan Benteng, Parit Kongsi 4, Parit Jawa, dekat sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, dua anggota polis yang dalam tugasan rondaan cuba menahan kereta yang dipandu individu berkenaan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa dua anggota polis dari Cawangan Kereta Peronda sedang cuba menahan pemandu kereta berkenaan di Pekan Parit Jawa untuk tujuan pemeriksaan. 

“Setelah menyedari kehadiran polis, suspek yang memandu kereta Toyota Vios telah melarikan diri dan terus memecut laju ke arah Parit Jamil. Kenderaan polis telah membunyikan siren dan memberi isyarat supaya suspek menghentikan kereta yang dipandunya, namun suspek enggan berbuat demikian. 

“Semasa usaha mengejar suspek dilakukan, kedua-dua kenderaan telah terbabas dan masuk ke dalam parit berhampiran tempat kejadian. Malangnya, kereta yang dipandu suspek telah terbakar sehingga menyebabkan suspek meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raiz Muhkliz berkata, kedua-dua anggota polis turut mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk menerima rawatan dan mayat suspek turut dibawa ke HPSF Muar untuk proses bedah siasat da ujian asid deoksiribonukleik (DN)  bagi mengesahkan identiti sebenarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan  orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×