SEREMBAN: Seorang suspek lelaki yang cuba meragut mangsa yang menunggang motosikal berjaya ditahan polis dalam kejadian di Sikamat di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian pada pukul 10 malam itu, jeritan mangsa meminta tolong dan bergelut dengan suspek yang cuba meragutnya membawa kepada penahanan suspek lelaki berusia 46 tahun itu.
“Mangsa turut dibantu orang awam yang mendengar jeritannya sebelum suspek ditahan dan diserahkan kepada polis.
“Mangsa seorang lelaki berusia 39 tahun memaklumkan ketika sedang menunggang motosikal di sebuah kawasan perumahan di Sikamat, dia didatangi suspek yang juga bermotosikal dan cuba meragut beg silangnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamad Hatta berkata, mangsa kemudiannya dipercayai menjerit meminta tolong serta cuba menghalang tindakan suspek dan berlaku pergelutan antara mereka.
Beliau berkata, suspek adalah penduduk tempatan dan mempunyai 13 rekod lampau membabitkan kes jenayah samun, mendatangkan kecederaan, perbuatan khianat dan dadah.
“Suspek direman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut 393 Kanun Keseksaan.
“Dengan tertangkapnya lelaki ini, pihak polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes ragut yang menyasarkan mangsa sedang berjalan kaki dan menunggang motosikal di sekitar kawasan daerah Seremban,” katanya.-UTUSAN.











