MUAR: Seorang suri rumah berputih mata apabila wang simpanan berjumlah RM100,000 lebur akibat terpedaya tawaran skim pelaburan palsu dalam laman sosial Facebook.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga bekas kakitangan sebuah bank berusia 31 tahun, semalam
“Mangsa terlihat sebuah iklan dalam Facebook sebuah syarikat dan kemudiannya berminat dengan tawaran iklan pelaburan yang dipaparkan.
“Pada 14 Mac lalu, mangsa menghubungi suspek untuk mendapatkan penjelasan tentang pelaburan itu. Suspek memperdaya mangsa dengan menjanjikan keuntungan 50 peratus dalam tempoh sebulan sekiranya membuat pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, seterusnya mangsa bertemu seorang wanita tempatan yang mengaku wakil syarikat tersebut pada 30 April lalu yang memberi penjelasan lanjut tentang pelaburan tersebut sebelum mangsa menandatangani perjanjian dalam talian.
“Mangsa telah membuat sembilan transaksi berjumlah RM100,000 ke dalam satu akaun yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat. Apabila sampai masa (satu bulan selepas pelaburan), mangsa tidak mendapat keuntungan yang dijanjikan dan ejen syarikat berkenaan juga telah lesap tidak dapat dihubungi,”katanya sambil memaklumkan semakan mendapati akaun Facebook berkenaan sudah tidak wujud.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun atau maksimum 10 tahun dengan sebatan atau denda, jika sabit kesalahan.
Orang ramai dinasihatkan mengunakan perkhidmatan semakan menerusi portal http:semakmule.rmp.gov.my/utk bagi mengetahui latar belakang individu yang menjanjikan pulangan lumayan. – UTUSAN










