SUKMA Ke-21: Sepak takraw regu berpasukan wanita kekal dipertanding - Utusan Malaysia

SUKMA Ke-21: Sepak takraw regu berpasukan wanita kekal dipertanding

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Penganjuran acara sepak takraw regu berpasukan wanita pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 akan diteruskan mengikut jadual.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata SUKMA Sarawak bakal melakar sejarah dengan mempertandingkan acara terbanyak yang menjadi rebutan 15 kontinjen bertanding.

“Demi pembangunan atlet wanita adalah tidak adil bagi atlet yang telah berlatih dengan gigih namun acara yang mereka sertai digugurkan di saat akhir hanya kerana kurang penyertaan.

“Kalau tidak cukup sokongan, bagaimana kita hendak melahirkan atlet negara sedangkan mereka mungkin berpotensi untuk menyumbang pingat emas,” ujarnya.

Keputusan itu sekali gus mengekalkan jumlah 488 acara dari 37 sukan dipertandingkan pada SUKMA kali ini yang akan diadakan dari 17 hingga 24 Ogos depan di sembilan bahagian negeri.

Perkara tersebut diputuskan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia Bil 11/2024 yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada semalam memberi kebenaran khas kepada sukan tersebut untuk dipertandingkan.

Sebelum ini, wujud tanda tanya acara tersebut mungkin digugurkan kerana tidak memenuhi syarat minima enam kontinjen selepas hanya lima negeri yang mengesahkan penyertaan iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah turut lega selepas acara sepak takraw wanita dikekalkan.

Katanya, Kerajaan Sarawak telah bersedia sepenuhnya dari segi persiapan untuk menganjurkan SUKMA kali ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN